“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Ali-Imran:102-103)

Friday 19 October 2012

Erti Sebuah Pepohon



Sahabat,

Jadilah Kalian Seperti Pepohon...
Yang,
Akarnya adalah tunjangan Aqidah...
Darinya,
Mengalirkan Cahaya Keagungan Ilahi...
Cahaya itu,
Mengukuhkan Batang Ranting Keimanan...
Kekukuhan itu,
Menyuburkan Benih-benih Keindahan Ibadat...
Kesuburan itu,
Melebarkan Dedaunan Keikhlasan dan Ketaatan...
Darinya,
Membuahkan Biji-biji Kemanisan Akhlak...

Pepohon itu,
Akan Tetap Berdiri...
Akan Tetap Bertahan...
Walau,
Badai Melanda...

Friday 12 October 2012

Dari Kerana Mata

                           Alhamdulillah.. Kicau pagi melewati embun malam..  Syukur kepadaMu ya Allah.. Aku masih bisa bernafas.. Aku memancarkan pandangan ke luar jendela, hujan mencurah-curah. Begitu patuh kepada Sang Penguasa.. Mengalirkan rahmat dari langit.. Titis-titis itu, bagai tiada penghujungnya, menyejukkan mata memandang.. Begitu indahnya ciptaan Tuhan yang Esa.. Alangkah ruginya manusia yang tidak mengetahuinya. Kurniaan pancaindera mata adalah begitu sempurna. Ada baiknya jika menggunakannya dengan betul, memikirkan keajaiban alam. Itu adalah salah satu zikir.

Firman Allah bermaksud: 

“Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)

Dewasa ini, seringkali kita dikejutkan dengan kes-kes zina dibawah umur. Ada sehingga melahirkan anak-anak yang tidak berbapa. Ramai diantata kita berfikir adalah zina itu hanya zina semata-mata tanpa mendalami definisi terperinci. Hari ini, post ini akan membicarakan zina mata. Apakah zina mata ini? Zina Mata adalah seseorang melihat perkara-perkara yang haram. Berdasarkan ayat 31 dalam surah An-Nur, Allah melarang hambanya untuk menampakkan aurat, melainkan kepada orang-orang yang tertentu. Hal ini kerana, dari perkara sebegini lah, maka akan lahirnya Zina yang sebetulnya. 

Oleh itu, ingin aku selitkan secebis renungan buat insan yang bergelar muslim, khususnya kaum wanita, agar sentiasa menjaga maruah diri, keluarga dan masyarakat. Kerana Rasulullah ada menyatakan, wanita adalah fitnah dunia. Jangan biarkan iman tertewas dengan godaan nafsu. Aku berpesan kerana Allah.

"Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" (Surah al-Tahrim, ayat 6).


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

HASAN BASRI pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang berdasarkan keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.

Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik. Melihat wanita cantik itu. Hasan berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau tidak malu?”

Jawab Hasan: ”Malu pada siapa?” Wanita itu berkata. “Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati.”

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya, akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu.

Wanita itu berkata lagi kepadanya: “Mengapa engkau mengikuti aku?” Jawab Hasan: “Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu.” Wanita itu berkata: “Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki.”

Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita cantik itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan.

Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan terbabit berkata. “Sungguh tuan puteri berkata: “Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang.”

Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: ”Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu.”

Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman. Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf segala kesalahannya.

Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisani wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku.

Dikatakan bahawa pemilik rumah itu meninggal. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari.

Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga.

Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya. “Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku.”

Jawab wanita itu. “Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau.” Hasan berkata, “Berikanlah kepadaku akan nasihatmu.”

“Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya.” kata wanita berkenaan.

Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan hingga dia menjadi orang yang masyhur di kalangan masyarakat dengan zuhud dan taatnya kepada Allah.

Akhirnya, dia pun memperoleh darjat tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah.


Imam Abu Hasan Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri Qur'ani Aziz mentafsirkan: "Wahai orang-orang yang beriman! Berilah peringatan buat diri kamu sendiri dan ahli keluarga kamu tentang perkara yang boleh mendekatkan diri kepada rahmat Allah dan jauhilah diri kamu dan ahli keluargamu dari perkara dosa".

Wallahualam...